BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Hil Hamd.

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera. Di mana sahaja umat Islam berada, pasti akan merasai getaran takbir menyentuh jiwa mengagungkan kebesaran Illahi. Menjelang Syawal yang mulia di tahun ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga kerja Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Aidilfitri adalah hari kita menyambut kemenangan dan sebagai ganjaran kepada mereka yang sabar dan taat beribadah sepanjang berada di madrasah Ramadan.

YBhg Datin/tuan/puan,

Dalam perutusan ini, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk menyeru supaya  kita bekerja sebagai satu pasukan. Bagi memenuhi aspirasi masyarakat yang menginginkan yang terbaik daripada kerajaan, kita harus memberikan perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan selaras dengan kehendak dan permintaan masyarakat. Dalam pada ini saya telah menetapkan hala tuju (The Way Forward) dalam memimpin organisasi ini. Matlamatnya adalah pematuhan kendiri (self – regulation); perlu dihayati oleh semua warga JAS bagi memastikan pelaksanaannya teratur dan berkesan. Salah satu alat untuk mencapai self-regulation status ialah mengarusperdanakan alam sekitar (environmental mainstreaming). Ianya  bermaksud kepentingan alam sekitar diserap, diterap, dan diintegrasikan dalam semua peringkat pengurusan dan implementasi sesuatu projek, program, atau aktiviti perkilangan. Apabila ini berlaku, aspek alam sekitar tidak akan diketepikan lagi, malah akan diambilkira di dalam setiap keputusan dan tindakan yang akan diambil di dalam sesebuah organisasi, premis atau projek. Di dalam organisasi tersebut, bukan saja aspek alam sekitar diberi keutamaan perigkat polisi malah ianya akan diterjemahkan di dalam peringkat pengurusan dan amalan seharian. Environmental mainstreaming adalah alat  strategik untuk menuju ke arah dan mencapai keadaan komuniti yang mengawal sendiri tindak-tanduk mereka (self regulation). Besarlah harapan saya agar semua warga JAS dapat menghayati, mendokong serta menggerakkan pendekatan ini secara holistik.

YBhg Datin/tuan/puan,

Sebelum pejabat ditutup sempena cuti perayaan ini, diminta pegawai keselamatan pejabat mengambil langkah-langkah kawalan keselamatan seperti menutup suis bekalan elektrik dan paip air serta memastikan pintu / jeriji berkunci. Maklumkan kepada pihak keselamatan bangunan untuk pemantauan secara berkala. Ini bertujuan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Manakala  warga Jabatan Alam Sekitar Malaysia yang bertugas pada hari raya, moga terus tabah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.

Sambil kita bergembira di hari raya, teruskanlah tradisi ziarah menziarahi yang selama ini menjadi amalan kita. Runtuhkanlah ‘tembok prasangka’ dan bukalah seluas-luasnya pintu rumah dan pintu hati kita untuk menerima kunjungan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, pangkat dan kaum. Ambillah peluang pertemuan di bulan yang penuh barakah ini sebagai medan saling bermaafan antara satu sama lain. Malah saya sentiasa percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain. Insya Allah di atas sokongan semua warga kerja Jabatan Alam Sekitar Malaysia, saya berharap Syawal yang menjelang tiba bakal menjadi garis permulaan kepada kejayaan yang lebih besar. Saya percaya hari yang mulia ini memberi ruang kepada kita semua untuk merapatkan lagi jalinan ukhuwah sesama kita yang menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang lebih kukuh dan dinamik.

Kepada semua warga Jabatan Alam Sekitar Malaysia yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya, rancanglah perjalanan dengan baik dan pastikan periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Patuhilah undang-undang lalulintas, pandu dengan cermat dan waspada bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Jangan jadikan diri dan keluarga menjadi sebahagian statistik kemalangan jalan raya. Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan selamat kembali ke tempat bertugas.

Di kesempatan ini saya  memohon ampun dan maaf kepada semua warga Jabatan Alam Sekitar Malaysia sepanjang tempoh menerajui Jabatan ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan saya dan keluarga insya Allah akan berangkat ke Tanah  Suci, Mekah untuk menunaikan ibadat Haji,  pada pertengahan Ogos ini dan doakan  supaya Allah SWT memudahkan segala urusan ini.

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1437 Hijriah. Maaf zahir dan batin.

(DATO’ DR AHMAD KAMARULNAJUIB BIN CHE IBRAHIM)