THE 19TH MSJCE WG, 2023

Mesyuarat Kesembilan Belas Malaysia-Singapore Joint Committee on the Environment Working Group (MSJCE WG) adalah satu platform dua hala (bilateral) untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama erat di antara agensi kedua-dua negara untuk mencapai matlamat bersama di dalam pengurusan dan perlindungan alam sekitar.

Mesyuarat MSJCE WG ke-19 telah diadakan pada 5 – 6 September 2023 di Singapura selaku Tuan Rumah. Mesyuarat dipengerusikan secara bersama oleh Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Malaysia dan Encik Wong Kang Jet, Ketua Pegawai Executive, National Environment Agency, Singapura.

Mesyuarat ini diadakan bagi menyelaraskan pendirian kedua-dua negara berhubung isu-isu alam sekitar yang melibatkan Selat Johor, tindakan kawalan pencemaran dan kualiti alam sekitar seperti kenderaan bermotor, kualiti air di perairan Selat Johor, pengurusan bahan kimia dan buangan berbahaya, hal-hal berkaitan keselamatan dan kerjasama di dalam pengurusan kecemasan dan kawalan pencemaran tumpahan minyak dan bahan kimia serta meningkatkan kerjasama pembangunan kapasiti (capacity building) melalui pusat latihan kedua-dua negara. Malaysia juga telah berkongsi mengenai 13th Joint Emergency Exercise for Chemical Spill yang telah diadakan dengan jayanya pada 26 Julai 2023 di lokasi Second Crossing di antara kerjasama dua negara dan Malaysia juga berkongsi mengenai Program Ekologi Laut dan Komuniti Malaysia di Selat Johor.

Mesyuarat MSJCE WG ke-19 telah melibatkan kehadiran delegasi-delegasi Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan 9 wakil agensi lain dalam negara termasuklah, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pusat Hidrografi Nasional, Agensi Angkasa Malaysia dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor. Manakala, kehadiran dari Singapura terdiri daripada 10 wakil agensi iaitu National Environment Agency, Ministry of Sustainability and the Environment, Ministry of Foreign Affairs, Attorney-General’s Chambers, Ministry of National Development, Maritime and Port Authority, Public Utilities Board, Housing and Development Board, National Parks Board, dan Jurong Town Council.