Pengenalan

Rasional Logo

Logo Debat Alam Sekitar buat pertama kali diperkenalkan pada Pertandingan Debat Alam Sekitar ke-21 pada tahun 2011. Pemilihan logo ini telah dibuat menerusi Pertandingan Mencipta Logo Debat Alam Sekitar. Logo ini akan digunapakai untuk pertandingan seterusnya.

Secara keseluruhannya logo ini direka dengan memasukkan elemen-elemen penting iaitu perkataan DEBAT ALAM SEKITAR ANTARA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI dengan warna yang bersesuaian dan gambar bunga raya sebagai simbol alam sekitar.

Perkataan DEBAT – warna putih pada huruf D membawa maksud kebersihan dan kemuliaan bagi menggambarkan peribadi pendebat selaku penuntut Institusi Pendidikan Tinggi yang berjiwa bersih dan berakhlak mulia. Warna hitam membawa maksud kekuatan dan keyakinan dalam berdebat.

Perkataan ALAM SEKITAR berwarna hijau – Warna hijau melambangkan kesuburan, pertumbuhan dan harmoni yang biasa dikaitkan dengan kehidupan dan alam sekitar. Hijau adalah warna korporat Jabatan Alam Sekitar selaku penganjur pertandingan ini.

Bunga berwarna merah – Bunga Raya adalah Bunga Kebangsaan Malaysia dan dalam konteks logo ini ia menjadi lambang keberanian, kekuatan dan kemahuan yang agresif dalam berhujah dan berdebat.

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi pertama kalinya telah diadakan pada tahun 1986. Walau bagaimanapun ia menjadi acara tahunan bermula tahun 1991 setelah kerajaan Malaysia mengisytiharkan 21 Oktober setiap tahun sebagai Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM).

Ia merupakan satu program tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) sejak awal tahun 90-an lagi. Penganjur utama pertandingan debat ini adalah Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama MADUM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi memudahkan pengurusan dan penganjuran pertandingan tersebut, salah sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang mengambil bahagian akan dipilih secara bergilir-gilir untuk ditawarkan menjadi tuan rumah pertandingan debat pada setiap tahun.

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi ini merupakan satu aktiviti tahunan yang diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan mahasiswa tentang pelbagai isu dan permasalahan alam sekitar. Ia juga dapat membentuk budaya berfikir dan berucap di khalayak awam dalam di kalangan mahasiswa.

Objektif

  1. Meningkatkan pengetahuan mahasiswa yang juga pemimpin pada masa hadapan akan isu-isu/dasar-dasar/polisi-polisi berkenaan alam sekitar di peringkat nasional dan antarabangsa.
  2. Meluaskan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia, tidak kira awam atau pun swasta bagi membolehkan proses perkongsian ilmuMenggalakkan mahasiswa untuk lebih berfikiran terbuka, kritis dan celik akan pengetahuan umum menyentuh aspek alam sekitar dan pemeliharaan serta pemuliharaan sumber asli
  3. Melatih mahasiswa sebagai pemimpin di masa hadapan untuk berfikir dan melahirkan buah fikiran secara berkesan dan bernas
  4. Sebagai satu cara untuk meningkatkan kemahiran dan bakat pidato dan debat di kalangan mahasiswa.

Usia Program Debat Antara Institusi Pendidikan Tinggi

Jabatan Alam Sekitar telah menganjurkan Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi(IPT) buat pertama kalinya pada tahun 1986. Pertandingan Debat yang melibatkan kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Debat Universiti Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah dianjurkan secara tahunan mulai tahun 1991. 

Kini usianya telah menjangkau 27 tahun pada tahun ini. Ianya bukan suatu jangka masa yang sekejap, malah ramai di kalangan pendebat yang berdebat pada tahun ini masih belum pun dilahirkan ketika pertandingan debat yang dianjurkan buat kali pertamanya pada tahun 1986. Pertandingan Debat ini merupakan satu rekod pertandingan debat yang tertua di Malaysia. Debat Alam Sekitar menjadi legasi debat antara Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia yang paling lama bertahan malah mengekalkan prestijnya sebagai kejuaraan yang menjadi idaman semua pendebat universiti.

Sedikit singkapan sejarah Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi di mana penyertaan yang pada mulanya hanya melibatkan peserta daripada IPT Awam telah turut dibuka kepada IPT Swasta mulai tahun 2003. Seperti pertandingan debat lain di Malaysia, Pertandingan Debat Alam Sekitar ini juga menyaksikan beberapa perubahan format pertandingan selaras dengan pertambahan peserta dan untuk memberi kesan yang lebih baik bagi mencapai objektif penganjurannya.

Contohnya, dengan menggunakan kaedah Debat Ala Parlimen, pendebat akan dilatih untuk berhujah dan menyampaikan segala maklumat yang diusulkan dengan lebih fokus selain menguji pemahaman dan penguasaan isu melalui celahan dan jawapan kepada celahan semasa debat dijalankan.

Maklumat Ringkas Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara IPT kali-27 Tahun 2021

Pada pertandingan edisi ke-27 ini, dengan timbulnya bencana wabak Covid-19, maka pertandingan diadakan secara norma baharu iaitu secara maya (dalam talian) dengan kerjasama Rakan Strategik yang baru iaitu Malaysian Institute of Debate and Public Speaking (MIDP).

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kali ke-27 ini telah disertai oleh 28 pasukan iaitu terdiri daripada 17 buah IPT Awam, 4 buah Institusi Pendidikan Guru (IPG), 1 buah politeknik dan 6 buah IPT Swasta. Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT kali ke-27 telah diadakan berpusat di Jabatan Alam Sekitar Malaysia di Presint 4, W.P. Putrajaya bermula dari 14 hingga 21 Ogos 2021 bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021.

Maklumat Ringkas Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara IPT kali-28 Tahun 2022

Pada pertandingan edisi ke-28 ini, pertandingan telah diadakan secara hibrid (kombinasi fizikal dan dalam talian). Dilaksanakan dengan kerjasama KPT, Universiti Malaysia Sabah (UMS), MADUM dan DBP.

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kali ke-28 ini telah disertai oleh 26 pasukan iaitu terdiri daripada 16 buah IPT Awam, 5 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) dan 5 buah IPT Swasta. Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT kali ke-28 telah diadakan secara dalam talian berpusat di Jabatan Alam Sekitar Malaysia di Presint 4, W.P. Putrajaya dan peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir di UMS. Tarikh pertandingan adalah pada 20 hingga 28 Ogos 2022 bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022.

 

PERTANDINGAN DEBAT ALAM SEKITAR ANTARA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) KE−29 TAHUN 2023

19 HINGGA 27 OGOS 2023, UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM), BATU PAHAT, JOHOR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ke−29 secara hibrid iaitu peringkat awal secara maya manakala peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir secara fizikal di IPT tuan rumah, sebagai satu pendekatan baharu sejak tahun 2022 yang lalu. Pertandingan telah bermula dari 19 hingga 27 Ogos 2023 bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023.

Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS) ini bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa, bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan berkenaan isu, dasar, polisi alam sekitar di peringkat negara Malaysia dan antarabangsa.

Debat Alam Sekitar antara IPT merupakan program tahunan sejak tahun 1991 yang dianjurkan oleh JAS dengan kerjasama KPT, MADUM, dan DBP. Pertandingan debat ini dikendalikan secara debat Ala−Parlimen dan debat terbuka. Penentuan pasukan yang bertanding sama ada berperanan sebagai kerajaan atau pembangkang dibuat menggunakan kaedah sistem ‘bracket power match’ untuk peringkat pusingan awal. Kedudukan setiap pasukan dibuat berdasarkan menang/kalah, juri, julat kemenangan dan markah keseluruhan.

Pertandingan peringkat awal yang dijalankan secara maya melibatkan lima (5) pusingan. Lapan (8) pasukan terbaik dipilih untuk ke peringkat suku akhir dan empat (4) pasukan yang menang pula ke peringkat separuh akhir dan seterusnya dua (2) pasukan terbaik bertanding di peringkat akhir. Senarai pasukan IPT yang menyertai pertandingan adalah seperti di Jadual 1.

 Jadual 1: Senarai Pasukan Institusi Pendidikan Tinggi yang Menyertai Pertandingan

BIL

IPTA/IPTS/IPG/POLITEKNIK

1

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

2

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

3

Universiti Multimedia (MMU)

4

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

5

University Poly-Tech Malaysia (UPTM)

6

Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

7

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

8

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

9

Universiti Utara Malaysia (UUM)

10

IPG Kampus Kent Tuaran, Sabah

11

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

12

Universiti Teknologi Petronas (UTP)

13

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

14

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

15

IPG Kampus Pendidikan Teknik, Negeri Sembilan

16

Universiti Sains Malaysia (USM)

17

Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

18

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

19

Universiti Malaya (UM)

20

IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor

21

Universiti Putra Malaysia (UPM)

22

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

23

Universiti Malaysia Sabah (UMS)

24

IPG Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak

25

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

26

Universiti Selangor (UNISEL)

27

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

28

IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu

29

IPG Malaysia (IPGM)

 

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT ke-29 Tahun 2023 ini telah diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula dari 25 hingga 27 Ogos 2023 bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2023. Program kesedaran alam sekitar yang lain turut dianjurkan selain perdebatan bagi memberi galakan kepada pelajar dan orang awam untuk lebih mencintai alam sekitar seperti pameran lestari dan program sisipan Rakan Alam Sekitar (RAS) yang diadakan di sekitar kampus UTHM, Batu Pahat.

Pertandingan peringkat akhir yang diadakan pada 27 Ogos 2023 telah berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim (DSI) UTHM di antara pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar, Yang Berbahagia Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar yang membacakan teks ucapan perasmian YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, sambil diiringi oleh Yang Berbahagia Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM dan disaksikan oleh YBhg. Prof. Sr. Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim bin Hj. Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Johan bagi Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.00 berserta sijil penyertaan, piala iringan dan Piala Pusingan Menteri NRECC. Manakala bagi naib johan pula menerima wang tunai berjumlah RM5,000.00 berserta piala iringan dan sijil penyertaan dan bagi dua pasukan pencapaian separuh akhir menerima wang tunai RM1,500.00, plak dan sijil penyertaan. Bagi pendebat terbaik peringkat akhir pula menerima wang tunai RM1,500, plak dan sijil penyertaan. Manakala pendebat terbaik liga menerima wang tunai RM1,000.00, plak dan sijil penyertaan. Senarai nama pemenang-pemenang adalah seperti Jadual 2.

 Jadual 2: Senarai Pemenang Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara IPT ke-29 Tahun 2023

KATEGORI

NAMA PESERTA DEBAT

NAMA IPT

JOHAN

(1)         Nursyazana binti Haron

(2)         Abdullah bin Nudin

(3)         Muhamad Hafizi bin Mohd Hanafi

(4)         Mohamad Firdaus bin Kasah Hamid@Kasmidy

USM

 

NAIB JOHAN

(1)         Muhammad Iman bin Azhar

(2)         Hafiz Hafizi bin Norependi

(3)         Adliesyamil Yaasin bin Azman

(4)         Muhamad Badrul Naim bin Mohd Besri

UKM

 

SEPARUH AKHIR

(KETIGA)

(1)         Sharifah Nurjiha Binti Syed Mohatha

(2)         Mohammad Khairul Hilmi bin Mustapha

(3)         Muhammad Uwais bin Sobri

(4)         Nur Anis Amira binti Anuar

UniKL

 

SEPARUH AKHIR

(KETIGA)

(1)         Anfaal binti Yazi

(2)         Balqis binti Azmi

(3)         Daeng Mohd Fikhri bin Eyuki

(4)         Muhammad Irsyad bin Rosli

IPGM

 

PENDEBAT TERBAIK AKHIR

Muhamad Hafizi bin Mohd Hanafi

 

USM

 

PENDEBAT TERBAIK LIGA

Nur Syahirah Balqis binti Shahrulnizam

UIAM