ANUGERAH LANGKAWI - KELESTARIAN ALAM SEKITAR

Anugerah Langkawi – Kelestarian Alam Sekitar atau lebih dikenali sebagai ALKAS telah dimulakan pada 21 Oktober 1991 sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang disambut pada tarikh 21 Oktober setiap tahun. ALKAS bermula dengan termaktubnya Deklarasi Langkawi yang telah ditandatangani oleh Malaysia pada 21 Oktober 1989 semasa Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel di Langkawi. Deklarasi ini telah memperakui bahawa pencemaran dan kemusnahan alam sekitar telah bermula sejak dahulu lagi. Isu alam sekitar ini melangkaui sempadan dan kepentingan negara yang terlibat. Deklarasi ini mengetengahkan isu alam sekitar yang utama seperti kesan rumah hijau, kerosakan kepada lapisan ozon, hujan asid, pencemaran laut, degradasi tanah dan kepupusan spesis.

Objektif ALKAS adalah untuk mengiktiraf individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan yang signifikan di dalam melestarikan alam sekitar. Selain itu, penganugerahan seumpama ini dapat memberikan kesedaran kepada orang awam untuk bersama-sama di dalam usaha melestarikan alam sekitar. Pada mulanya ALKAS dianugerahkan kepada individu dan bermula pada tahun 2010, penganugerahan ALKAS diperluaskan dan diberikan kepada organisasi yang telah memberi impak kepada pelestarian alam sekitar.

Penganugerahan ALKAS diiktiraf oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan penerima ALKAS juga akan menerima plak yang ditandatangani oleh Menteri Alam Sekitar dan wang tunai sebanyak RM10,000. Senarai penerima ALKAS adalah seperti yang disenaraikan di dalam Jadual 1. Sehingga 2022, terdapat seramai 24 penerima ALKAS dan penganugerahan ini akan diteruskan demi mencapai objektif kelestarian alam sekitar.

Secara ringkasnya, terdapat tiga peringkat penilaian sebelum seseorang individu atau sesebuah organisasi dipilih untuk menerima ALKAS. Peringkat pertama adalah Jawatankuasa Tapisan bagi semakan dokumen pencalonan yang telah dikemukakan kepada urus setia. Peringkat kedua adalah Jawatankuasa Penilaian di mana semua calon akan dinilai berdasarkan sumbangan, kaedah dan kerjasama di dalam penyelesaian masalah alam sekitar. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pengarah-Pengarah Jabatan Alam Sekitar, pihak Kementerian dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar. Bagi peringkat terakhir iaitu Jawatankuasa Pemutus yang terdiri daripada Pengurusan Tertinggi Jabatan Alam Sekitar, Pengurusan Tertinggi Kementerian dan akan dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar.

Seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030), anugerah ini dilihat dapat memberi impak kepada beberapa matlamat yang berkait terus dengan Jabatan Alam Sekitar seperti SDG6 (Air Bersih & Sanitasi), SDG11 (Bandar & Komuniti Mampan) dan SDG17 (Perkongsian untuk Matlamat). Sumbangan penerima-penerima ALKAS ini melangkaui perkara-perkara berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang ditadbir oleh Jabatan Alam Sekitar, malah ia meliputi keseluruhan aspek pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar seperti penubuhan Forest Research Institute MAlaysia (FRIM), pengekalan tapak geowarisan dan memperjuangkan hutan simpan seperti Taman Negeri Royal Belum, Perak.

NO.TAHUNPENERIMA
11991YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Salleh bin Mohd Nor
21992YBhg. Tan Sri Razali Ismail
31993YBhg. Ir. Gurmit Singh K.S.
41994YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sham Sani
51995YBhg. Tan Sri Khir Johari
1996Tiada Penerima
61997YBhg. Ir. K. Kumarasivam
71998YBhg. Prof. Dato’ Dr. Zakri A. Hamid
81999YBhg. YM Tengku Datuk Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamud
92000YBhg. Prof. Dr. Muhammad Awang
102001YBhg. Datuk Amar James Wong Kim Min
112002YBhg. Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye
122003YBhg. Puan Khatijah Abdul Rahman
132004YBhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohama
142005YBhg. Dato’ Dr. Hashim Abdul Wahab
152006YBhg. Encik Bisan Singh a/l Ram Singh
162007YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Anwar a/l Fazal Mohammed
172008/2009YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo
182010/2011The Frangipani Langkawi Resort & Spa
2012/2013Tiada Penerima
192014/2015YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sharifah Mastura Syed Abdullah
20Malakoff Coporation Bhd
212016/2017YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin
22Majlis Bandaraya Shah Alam
232018/2019YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar
24Sime Darby Plantation Berhad
2020/2021Tiada Penerima (Ditangguhkan akibat COVID19)
252023/2024Puan Jennifer Asing
26Tenaga Nasional Berhad

Jadual 1: Senarai penerima ALKAS