Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar
Program Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar adalah program kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dilancarkan pada 27 Januari 2005.
Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar adalah suatu usaha bagi melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara yang mana mempunyai lapan (8) prinsip dan tujuh (7) strategi hijau. Strategi Hijau pertama memfokuskan aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penglibatan masyarakat. Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang dapat memberi nilai tambah kepada sekolah dalam lima (5) komponen Sekolah Lestari iaitu mencakupi pengurusan, kokurikulum, penghijauan, kurikulum dan elemen khas.
Penglibatan warga sekolah dalam aktiviti Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar mampu menggalakkan penghayatan, pengamalan dan pembudayaan ciri-ciri mesra alam dalam persekitaran sekolah, rumah, bersama komuniti setempat, masyarakat umum dan akhirnya di peringkat negara.
Objektif Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar
Sekolah Lestari dibentuk bagi mencapai objektif berikut:-
1. Memupuk nilai murni alam sekitar pada kalangan warga sekolah
2. Meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
3. Menggalakkan warga sekolah melaksanakan aktiviti mesra alam dengan berkesan
4. Meningkatkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat dalam menjayakan pendidikan alam sekitar
5. Mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari; dan
6. Memupuk nilai sivil dan pembangunan sahsiah ke arah pembangunan lestari.
Definisi Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar
Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar menggunakan Definisi Alam Sekitar yang dinyatakan:
“Pembelajaran untuk memahami interaksi manusia dengan alam sekitar dan bagaimana alam sekitar diuruskan dengan bijaksana dan bertanggungjawab ke arah kelestarian hidupan di bumi. Proses ini melibatkan pendidikan tentang alam sekitar, melalui alam sekitar dan untuk alam sekitar”.
*Sila klik poster untuk terus ke Portal MySLAAS