KONVENSYEN BASEL
Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya yang diterima pakai pada 22 Mac 1989 merupakan satu usaha yang sangat baik untuk membendung kemasukan sisa toksik/ sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun. Konvensyen yang telah dipersetujui oleh negara-negara yang dinamakan Convention of Parties (COPs) itu juga bertujuan membentuk kawalan pengurusan sisa toksik/ berbahaya yang lebih baik dalam kalangan ahli parti supaya kemudahan rawatan dan pelupusan dapat dilakukan secara sistematik di dalam negara dengan menggunakan teknologi bersesuaian secara mesra alam.
Malaysia telah menjadi negara parti kepada Konvensyen Basel pada 8 Oktober 1993 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan pihak berkuasa kompeten yang pengurusan Konvensyen Basel di Malaysia. Sebagai negara parti kepada Konvensyen Basel, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kesemua peruntukan di bawah Konvensyen tersebut dipatuhi sepenuhnya.
JAS memainkan peranan yang sangat penting dalam pelaksanaan Konvensyen Basel di Malaysia dari segi melindungi Malaysia daripada buangan berbahaya (unwanted hazardous waste), pengimportan haram dan pelupusan haram.
Oleh itu, dasar negara mengenai pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya adalah seperti berikut:
- Sebarang pengimportan sisa berbahaya untuk tujuan pemulihan atau pelupusan akhir adalah dilarang.
- Pengimportan sisa berbahaya hanya dibenarkan untuk kegunaan semula secara langsung atau sebagai bahan mentah alternatif dengan syarat sisa berbahaya tersebut tidak terdapat di dalam negara.
- Pengeksportan sisa berbahaya dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
– Negara pengimport mempunyai teknologi yang lebih baik daripada teknologi yang terdapat di Malaysia.
– Teknologi di negara pengimport akan menghasilkan kadar pemulihan yang lebih tinggi daripada kemudahan pemulihan tempatan.
– Tiada kapasiti teknikal atau kemudahan di Malaysia yang mampu memulihkan sisa tersebut.
Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan sisa berbahaya daripada mana-mana pihak atau ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Suruhanjaya Eropah (EC), atau Liechtenstein, selaras dengan Pindaan Larangan Konvensyen Basel.
Senarai Mesyuarat:
- The Conference of the Parties (COP) to the Basel Convention
- The Open-ended Working Group (OEWG) of the Basel Convention
- The Regional Preparatory Meeting for COPs for the Asia Pacific Region
- The Basel Convention Implementation and Compliance Committee (ICC)
- Other meetings and workshops related to the Basel Convention