MESYUARAT ASEAN WORKING GROUP ON ENVIRONMENTAL EDUCATION (AWGEE) KE-15

Mesyuarat AWGEE ke-15 telah berlangsung pada 13 –14 Julai 2023 di Kuala Lumpur dan ia merupakan pertemuan bersemuka pertama selepas penularan pandemik COVID-19, dan ia juga menandakan bahawa selepas 10 tahun, Malaysia telah dipilih semula untuk menjadi tuan rumah dan Kemboja adalah selaku Pengerusi AWGEE.

Walau bagaimanapun, Pengerusi AWGEE tidak dapat mempengerusikan Mesyuarat AWGEE ke-15 dan telah memberi mandat kepada Malaysia sebagai Tuan Rumah dengan melantik Encik Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar, sebagai Timbalan Pengerusi (Vice Chairperson) untuk mengetuai mesyuarat tersebut.

Mesyuarat AWGEE ke-15 dengan kehadiran delegasi dari negara Brunei, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam serta Lao PDR dan Filipina hadir secara dalam talian. Mesyuarat juga telah dihadiri oleh Rakan ASEAN (ASEAN Partners) yang terdiri daripada ASEAN Centre for Biodiversity (ACB), ASEAN-Japan Centre (AJC), EU SWITCH-Asia, Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) dan Cerdas Antisipasi Risiko Bencana Indonesia (CAR!).

Delegasi Malaysia ke AWGEE ke-15 telah diketuai oleh Puan Mashitah binti Darus, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), JAS, Puan Azuri Azizah binti Saedon, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, JAS dan bersama dengan wakil daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI).

Dalam Mesyuarat AWGEE ke-15, ASEC telah melaporkan keputusan berkaitan Mesyuarat ASEAN dan perkara-perkara yang berkaitan, perbincangan mengenai status pelaksanaan Pelan Tindakan AWGEE serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan kesedaran alam sekitar dalam sistem pendidikan di antara AMS dan Rakan ASEAN. Malaysia juga telah berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan Sekolah Lestari (Eco School) di Malaysia.

Malaysia juga berharap melalui platform AWGEE, Malaysia dapat memajukan lagi dan menginstitusikan kesedaran alam sekitar dalam sistem pendidikan bukan hanya di tempatan tetapi di peringkat ASEAN serta mencapai matlamat bersama di peringkat ASEAN dalam pengurusan dan perlindungan alam sekitar melalui pendidikan alam sekitar.

Susulan Mesyuarat AWGEE ke-15, delegasi AWGEE juga telah melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Selangor pada 14 Julai 2024 yang diketuai oleh Puan Mashitah binti Darus, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), JAS. Tujuan lawatan ini sebagai perkongsian pengalaman pelaksanaan Sekolah Lestari di Malaysia kepada semua delegasi AWGEE. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Selangor merupakan penerima Anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) sesi 2020- 2022 bagi kategori sekolah menengah. Program lawatan ini merupakan penanda aras bagi pelaksanaan Sekolah Lestari di Malaysia dalam memupuk nilai murni dan pembudayaan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.