THE 20TH MSJCE WG, 2024
Mesyuarat MSJCE WG ke-20 telah diadakan dari 4 hingga 6 September 2024 di Kota Kinabalu, Sabah, di mana Malaysia adalah selaku Tuan Rumah. Mesyuarat dipengerusikan secara bersama oleh YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Malaysia dan Encik Wong Kang Jet, Ketua Pegawai Eksekutif, National Environment Agency (NEA), Singapura.
Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri oleh deligasi dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dan agensi-agensi lain termasuk, Pejabat Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pusat Hidrografi Nasional, Agensi Angkasa Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pusat Pencerapan Bumi Institut Perubahan Iklim, dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor. Manakala delegasi Singapura adalah terdiri daripada NEA, Ministry of Sustainability and the Environment, Ministry of Foreign Affairs, Attorney-General’s Chambers, Ministry of National Development, Maritime and Port Authority, Public Utilities Board, Housing and Development Board, National Parks Board, dan Jurong Town Council.
Antara perkara yang telah dibincangkan dan diselaraskan dalam mesyuarat ini ialah pendirian negara kedua-dua negara berhubung isu-isu alam sekitar yang melibatkan Selat Johor serta meningkatkan kerjasama pembangunan kapasiti melalui institut latihan kedua-dua negara iaitu Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) dan Singapore Environment Institute (SEI).
Kedua-dua negara berkesempatan melawat Akuarium dan Muzium Marin untuk melihat inspirasi pemuliharaan di laut dan Galeri Azman Hashim di Universiti Malaysia Sabah bagi melihat reka bentuk berkonsepkan ‘popular design dan do-able’ serta ‘typical of Sabah’. Selain itu, semua delegasi juga berpeluang mengetahui kekayaan dan kepelbagaian etnik Sabah melalui lawatan di Perkampungan Budaya Mari-Mari.